Iktibar menziarahi jenazah & kubur...


 Bismillahirrahmanirrahim...

 Firman Allah SWT dalam surah Qaf:19 yang bermaksud....
    " Dan datanglah sakaratul maut dengan sebenar-benarnya, itulah yang kamu selalu lari darinya." 
 
  Hari ini ku mendapat berita seorang sahibahku yang pernah menuntut bersama-sama di sebuah Universti Tanahair telah kembali kerahmatullah lebih kurang pukul 7 pagi tadi setelah menderita lama akibat kanser usus. Inna lillahi wainna ilaihiraajiun. Setiap yang hidup pasti merasai mati. Begitulah, Dia telah sampai ke destinasi akhir hidup ini setelah menderita sakit yang lama. Semoga Allah mengampunkan segala dosa-dosanya di atas ketabahan dan keredhaannya menghadapi takdir Allah. Semoga di masukkan ke dalam golongan orang-orang yang beriman! Ameen.
 
   Ku tak sempat menziarahi jenazahnya kerana apabila sampai di rumahnya sudahpun selesai dimandi, dikafan dan disolatkan. Terus menuju ke kubur yang agak jauh dari rumah, bersemadilah jasadnya di sebuah kawasan kuburan yang sunyi. Terkenang pula bilakah giliran kita nanti..adakah kita sudah cukup bersedia? Kesibukan kita dengan dunia melalaikan kita dari mengingatinya, sedangkan ia boleh datang dengan tiba-tiba!
 
   Walaupun kita tinggal di rumah selesa   dengan   cukup makan dan pakai atau mungkin juga di rumah besar dengan segala kemewahan, namun destinasi akhir  tempat kita di dunia ini adalah sebuah kuburan kecil yang saiz liang kuburnya  sempit, muat-muat untuk sekujur jasad bagi setiap orang tak kira miskin atau kaya,  rumahnya bagi  cacing dan ulat. Kita tinggal bersendirian di sana, dilitupi kegelapan tanah, tanpa ada naungan dari hujan dan panas kecuali daun pepohon yang merindang, jasad yang kesejukan hanya dibaluti kain kafan putih nipis menyelimuti diri......menanti kedatangan dua malaikat! Bagaimanakah nasib di sana nanti? 
 
 Nabi saw pernah bersabda yang bermaksud, 
" Liang kubur itu boleh jadi salah satu lubang dari lubang-lubang syurga atau neraka." 
Liang kubur yang sempit itu boleh juga dilapangkan oleh Allah selapang-lapangnya atau menjadi sesempit yang mungkin. Semuanya bergantung pada amalan kita......bagaimana kita pergunakan umur ini untuk dimanfaatkan pada jalan Allah. 
 
     Persediaan diri yang sebenarnya adalah ketika menghadapi kematian dan orang yang bijak adalah mereka yang mempersiapkan diri sebaik-baiknya untuk menghadapi kematian dan tidak terpedaya oleh usia muda dan kesihatan. Di usia muda dan masa sihat, tenaga tengah kuat dan semangat tinggi, banyak kerja dan perkara boleh dilakukan. Bila dah tua, tak sihat pula, lutut pun dah longgar dan tenaga lemah..setakat mana yang boleh kita buat?

    Amat rugilah jika di masa muda dan masa sihat, hidup ini hanya untuk bersukaria sahaja, merasakan muda hanya sekali nak enjoy dulu, masa sihatlah nak explore, mencari keseronokan yang akhirnya   sering bertangguh  dalam membuat amal soleh dan persiapan menuju mati. Kena ingat selalu hakikat kematian yang datangnya mungkin tiada beri amaran bagi kita. Teman setia kita nanti di dalam kubur, bukan lah suami, isteri, anak-anak kita atau kawan-kawan kita, semua itu akan meninggalkan kita bersendirian tetapi amal soleh itulah yang tetap bersama mengiringi kita didalam kubur yang sunyi sepi. Itulah teman sejati kita!
 
  Firman Allah dalam surah Al-Ahqaf : 16 yang bermaksud :
" Mereka itulah orang-orang yang Kami terima dari mereka  amal yang baik yang telah mereka kerjakan, dan Kami ampuni kesalahan-kesalahan mereka, bersama penghuni-penghuni syurga sebagai janji yang benar yang telah dijanjikan kepada mereka."
 
      Amal soleh lah yang Allah terima menjadi bekalan berguna bagi diri kita bila menghadap Allah nanti dan amal soleh itulah yang perlu kita cari sementara kita masih diberi peluang oleh Allah untuk hidup saban hari....
 
Diriwayatkan satu kisah, dari Ali bi Abi Talib r.a,' Suatu hari kami keluar bersama Rasulullah saw mengiringi  jenazah ke kuburnya. Baginda duduk ditepi kubur dan kami mengelilingnya. Lalu Baginda menundukkan kepalanya sambil mengorek-gorek tanah dengan sebilah lidi di tangannya. Baginda kemudian mengangkat kepalanya dengan airmata membasahi janggutnya  dan bersabda..
     " Wahai sekelian umat manusia! Demi Allah , kalaulah kamu mengetahui apa yang ku ketahui sekarang, nescaya kamu akan sedikit  ketawa dan banyak menangis."     
 
      Kalaulah kita benar-benar menyakini dan merasai apa yang diperkatakan ini, pasti kita tidak akan lena tidur,  duduk diam  saja dan lalai dalam menunaikan hak Allah!  
Tapi peringatan Rasulullah saw ini kurang di ambil perhatian....malah dalam hidup ini kita lebih banyak ketawa dan sedikit menangis! Peringatan itu tidak membekas di jiwa yang telah menjadi keras dan kasar akibat menuruti nafsu dan bermaksiat. Hati yang buta dengan kemegahan dunia dan  kasar ini adalah akibat dari diri kita sendiri yang menjauhkan diri  dari Allah SWT.  Perlu ambil iktibar dari kematian dan kuburan ini agar ia dapat menjadi pencabut kesenangan dalam diri kita..sehingga kita merasakan begitu dekatnya diri kita dengan mati. Lembutkan dan bersihkan hati dengan Al-Quran dan selalu ingat akan mati ini.

Jadi sama-sama kita berusaha dan memohon kekuatan dari Allah untuk mengikuti langkah-langkah ini yang akan menyelamatkan kita dari azab nanti sama ada azab kubur atau azab neraka, Insya-Allah.
  • Bertaubat dengan sebenar-benar taubat atas semua dosa kita pada setiap pagi dan petang
  • Sentiasa mengerjakan semua solat fardu secara berjemaah (terutamanya bagi lelaki Muslim) dengan khusyuk, merendah diri dan bertafakkur.
  • Sentiasa berzikir dan sentiasa istiqamah dengannya.
  • Membaca Al-Quran dan merenungi maknanya dengan tadabbur, menghafalnya sesuai dengan kemampuan, menghayati Al-Quran dalam kehidupan
  • Meninggalkan perbuatan maksiat dan dosa, memerangi hawa nafsu dan mengawalnya dengan baik. 
Sama-sama kita renungi ayat-ayat Allah ini dalam surah Al- Furqan:65-66 yang bermaksud...
   "Dan orang-orang yang berkata," Ya Tuhan kami, jauhkan kami dari azab Jahannam, sesungguhnya azabnya adalah kebinasaan yang kekal.Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat kembali."
 
 Juga firman Allah dalam surah Al-Mukminun:15-16.
     "Maka apakah kamu mengira, bahawa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main sahaja, dan kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maha Tinggi Allah, Raja yang sebenarnya, Tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan(yang mempunyai) arasy yang mulia." 

Semoga semua ini menjadi peringatan yang berguna bagi hati yang ingin kembali pada Allah!


Hakikat hidup berkat dan tenang...


Bismillahirrahmanirrahim.....

Seringkali kita mendengar ungkapan " Kamu ni makan untuk hidup atau hidup untuk makan?" Jika diamat-amati betul-betul, sebenarnya ungkapan ini akan membuatkan individu rasa terpanggil untuk muhasabah diri tentang apakah matlamat kehidupan dalam alam raya ini.

Adakah matlamat hidup ini semata-mata untuk cari makan sehingga melanggar syarak semata-mata untuk memuaskan nafsu, mengenyangkan perut? Justeru itu, kita ini hamba pada siapa....pada Allah atau hamba pada nafsu, syaitan pangkat, harta dan wanita?

Ada orang yang bergaji besar sehingga mencapai puluhan ribu ringgit sebulan tetapi tetap merasakan wangnya tidak cukup untuk menampung kehidupan diri dan keluarga, malah terpaksa meminjam wang dari rakannya yang lain yang gajinya kurang darinya? Kenapa berlaku sedemikian?

Mencari harta kekayaan itu merupakan satu keperluan dalam kehidupan, malah Islam menyuruh kita mencari kekayaan selama mana ia menepati kehendak Islam dalam memenuhi keperluan diri, keluarga, masyarakat dan ummah. Orang Muslim yang berharta dapat memanfaatkan hartanya di jalan Allah dan membantu mereka yang memerlukan. Alhamdulillah.

Harta merupakan satu kekuatan dalam Islam yang perlu dicari. Tapi perlu diingat dalam mencari harta kekayaan ini, janganlah terlalai dan terleka sehingga mengabaikan diri dalam mencari keperluan bekal untuk dibawa keakhirat. Sama-sama kita renungi surah Al-Qasas ayat 7 yang bermaksud...

" Dan tuntutlah dengan harta kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu( keperluan dan bekalan) didunia."

Harta yang kita hendak cari dan kumpul semestinya hendaklah membawa keberkatan dalam hidup kita. Tiada ertinya harta yang banyak yang tidak berkat yang akan menjadi penyesalan dan kesedihan di kemudian hari. Bila ada keberkatan, harta atau rezeki yang sedikit  dirasakan banyak dan mencukupi.. Sebaliknya bila tiada keberkatan, walau harta banyak, sentiasa rasa tidak cukup, sempit dan susah! Yang mana satu realiti diri kita?

Sebagai seorang Muslim yang beriman pada Allah, perlu ada rasa keyakinan dihati bahawa segala harta yang diperolehi melalui jalan yang tidak diredai Allah tidak akan membawa keberkatan dan ketenangan. Malah hati sentiasa rasa susah...sehingga ada jutawan sanggup bunuh diri sendiri, ada yang sanggup melakukan pekerjaan terkutuk, banyak masalah jiwa?

Keberkatan, ketenangan dan kebahagiaan ini bukannya boleh kita beli di pasaraya. Ia adalah satu anugerah Allah kepada hambaNya yang taat dan patuh pada perintahNya. Anugerah ini juga hanya akan diberi kepada mereka yang mempunyai harta yang berkat. 

Jadi, dalam kita mencari makan untuk mengumpul harta.. telitilah jalan-jalannya, adakah ia menepati syarak, tidak mengambil rasuah, tidak curi tulang semasa bekerja dengan majikan, tidak mengambil hak orang lain, adakah dia jujur dan ikhlas dalam melakukan kerja kerana Allah bukan untuk membodek supaya naik pangkat cepat? Harta yang terkumpul dengan jalan yang syarak itu pula supaya lebih berkat....perlu ditunaikan hak-hak zakatnya dan sedekah.  

Janganlah mengumpul harta melalui jalan rasuah, jalan riba, kerana ia tergolong dalam dosa-dosa besar yang wajib dihindari. Kekayaan dari harta riba dan rasuah ini tidak berkat, menghakis ketenangan dan kebahagiaan serta membuahkan banyak masalah dan  kesedihan. Harta yang haram ini juga bila di gunakan untuk menyara keluarga...menjadikan keluarganya tidak 'menjadi'..bermaksud susah terdidik dengan Islam, keras hati, akhlak yang buruk dan sebagainya. Malah daging yang tumbuh dari harta yang haram ini selayaknya dibakar denga api neraka!

Renungi firman Allah tentang perkara ini dalam surah Al-Baqarah :188 yang bermaksud...
"  Dan janganlah kamu makan ( atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian harta orang lain dengan berbuat dosa, pada hal kamu mengetahui."

Dalam satu hadis pula riwayat Ibnu Majah..." Laknat Allah ke atas pemberi dan penerima rasuah"

Laknat Allah pada pemberi dan penerima rasuah ini berlaku di dunia lagi bahkan di akhirat nanti mereka akan ditimpakan azab yang sungguh pedih dalam neraka. Kesenangan yang sementara di dunia mengundang kesusahan yang berpanjangan  di hari akhirat....Adakah ini yang kita mahu?

Semua persoalan di atas hanya iman di jiwa yang dapat menjawabnya. Betapa ramai masyarakat Muslim kita yang tahu tentang haramnya rasuah dan riba. Tapi masih melakukannya. Malah mengatakan ruginya kita membeli barang contohnya kereta secara wang tunai yang banyak, lalu digunakan sistem pinjaman bank yang melibatkan riba untuk membeli kereta. Jadi wang tadi boleh dilaburkan dalam bank, main saham yang tidak tentu halal haramnya dan dapat banyak keuntungan! Tapi awas untung di dunia tidak semestinya untung di akhirat, malah rugi ada!

Iman, rasa tawaduk dan warak pada Allah sahaja lah yang dapat menjaga diri kita  dari perkara-perkara yang diharamkan. Allah lah yang memberikan kekuatan jiwa untuk menolak yang haram ini kerana apabila kita menjaga Allah, Insya-Allah Allah akan menjaga kita. Bisikan dijiwa sentiasa ada rasa  takut untuk melanggar apa yang di haramkan olehNya. Dan hakikat inilah yang telah hilang dan terhakis di jiwa kebanyakan masyarakat Muslim sekarang...iaitu di mana Allah dihati kita?

Jadi, perlunya kita kembali semula secara syumul pada Allah bermula dengan kembalinya jiwa kita untuk benar-benar beriman pada Allah iaitu iman yang mampu menolak kebatilan..bukan iman yang mandul yang merupakan ucapan kosong dibibir tapi ia tidak mendasari jiwa!  

Insya-Allah, sama-samalah kita memohon diberikan kekuatan iman padaNya, semoga Allah membersihkan hati kita, melapangkan jiwa dan memberikan kita ketenangan dan keberkatan dalam hidup ini... Dan hendaknya kita sentiasa istiqamah denganNya walau di mana kita berada. 
Amin Ya Rabbal Alamin...

Wahai manusia...kamulah yang memerlukan Allah!


                                                                Bismillahirrahmanirrahim...
Manusia makhluk paling istimewa yang Allah cipta. Tapi manusia makhluk yang paling suka 'buang 'Allah.
Sepanjang usia kita, cuba ingat balik berapa banyak kali kita 'buang' Allah. Tak ingat bukan? Biasalah, manusia itu insan dan insan itu sifatnya pelupa. Kalau begitu, mari kita sama-sama imbas kembali.
Ingat balik masa mula-mula kita lahir dulu. Allah bagi kita tengok dunia, keluar dari perut ibu kita dengan selamat. Ada kaki, ada tangan malah mata, mulut dan hidung kita tak terbalik kedudukannya, elok terletak di tempat yang sepatutnya. Cuba kira, berapa kali saja kita pernah rasa syukur dengan anugerah ini? Berapa kali saja kita pernah katakan, 'Ya Allah, terima kasih atas rupa yang cantik ini'?
Tanpa kita sedar, Allah bagi kita kejayaan sejak kita belum lahir lagi. Bayangkan, berjuta-juta sperma yang berebut-rebut nak jumpa dgn ovum, kita yang berjaya. Ya, kita hina.  Kita ini asalnya sperma saja, tapi kita sperma yang sombong. Pernah kita rasa bersyukur atas kejayaan besar ini?
Sejak sekolah rendah Allah bagi kejayaan. Tiba-tiba sampai sekolah menengah sangkut sikit dalam peperiksaan, tidak lepas masuk university, apa kita buat? Kita marah Allah. 'Penat aku belajar, Allah bagi gagal pula!', kata kita. Kita terus tinggalkan segala ibadah kerana kononnya merajuk dengan Allah.
Itu kalau tak lepas. Cuba kalau lepas dan Berjaya, kita kata, 'Alhamdulillah, usaha saya banyak, memang patut dapat keputusan cemerlang begini'. Kita 'mention' nama Allah sekali saja, buat cukup syarat. Yang banyaknya kita 'mention' nama kita, usaha kita. Sekali lagi kita 'buang' Allah. Padahal sebelum dapat, beria-ria minta pada Allah.
Bila jalan-jalan, ketika dalam keadaan musafir, cuba tanya diri sendiri, aku jaga atau tidak solat aku? Padahal rukhsah yang Allah bagi pada musafir sangatlah banyak. Jamak, qasar. Tapi masih tidak ramai yang buat. Lebih banyak yang tinggalkan, tidak solat terus. 'Takpe, di rumah aku solat penuh', kata kita. Baru dapat berjalan sikit, bergembira melancong, kita 'buang' Allah sekali lagi.
Baiklah. Cukup dengan sikap angkuh kita. Sekarang, cuba kita tukar watak.
Kita tinggal solat 5 waktu, kita kata solat itu penat, membuang masa. Apa Allah buat? Adakah Allah kata, 'penatlah jaga budak ini, tak payah jagalah, membuang masa saja'. Tidak! Allah masih jaga kita, lindung kita dari bahaya.
Kita marah Allah sebab tidak bagi apa yang kita mahu. Cuba kalau kita yang tidak bagi apa yang Allah mahu (tidak solat, tidak tutup aurat, etc), apa Allah buat? Allah masih lagi tahan langit supaya tidak jatuh pada kita, Allah masih lagi bekalkan oksigen supaya kita boleh bernafas, Allah masih lagi kawal perjalanan darah kita supaya kita mampu hidup. Berapa kali kita pernah berterima kasih padaNya?

Kita buat banyak sangat benda yang Allah larang, tapi Allah tidak pernah sesaat pun tinggalkan dan lupakan kita. Padahal, Allah dah nyatakan dalam Al Quran, yang kalau Dia mahu, bila-bila masa saja Dia boleh hapuskan kita.
"Wahai manusia, kamulah yang memerlukan Allah; dan Allah Dialah yang Maha Kaya, Maha Terpuji. Jika Dia menghendaki, niscaya Dia membinasakan kamu dan mendatangkan makhluk yg baru untuk menggantikan kamu. Dan yang demikian itu tidaklah sulit bagiNya." [35:15-17].
Nak cipta kita sangatlah mudah bagi Allah. Padahal kita ini teramatlah 'complicated'. Cuba belajar biologi, bermacam-macam istilah yang ada dalam badan kita ini. Adakah kita fikir, untuk menghapuskan kita itu susah bagi Allah? Tidak susah sama sekali bukan?
Tapi, adakah Allah buat? Ketika kita abaikan perintah Allah, kalau Allah mahu, Dia boleh hapuskan kita pada saat itu juga. Tapi Allah yang sweet itu tak buat begitu. Allah sentiasa tunggu kita datang dekat Dia. Allah sentiasa rindukan suara kita memohon padaNya.
Jika kita sedar, sudah berjuta-juta peluang yang kita dapat dari Allah. Kalau orang bercinta, cukup sekadar memberi hingga peluang ketiga, jika masih diulang kesilapan yang sama, alamatnya Hai Hai Bye Bye lah. Tapi Allah, tidak akan pernah jemu untuk mmeberi peluang baru pada kita.
Allahkah yang memerlukan kita, atau kita yang memerlukan Allah?
"Wahai manusia, kamulah yang memerlukan Allah..."

Mencintai Rasulullah S.A.W....


Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah... setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan keizinanNya,  sekali lagi dapat ku membuat perkongsian pada kali ini tentang Rasulullah saw yang merupakan pesuruh Allah, Nabi kita yang mulia, yang mana beliau sangat mengasihi ummatnya sehingga di saat-saat akhir kewafatan baginda, kalimah umati, ummati masih dibibirnya yang mulia.

 Kasihnya dan perihatinnya Rasulullah ini pada umatnya sehingga di saat kewafatannya, beliau masih risaukan dan teringatkan umatnya. Adakah ingatan kita pada Rasulullah saw ini sebagaimana baginda ingat pada kita? Jika ia, berapa kali kita mengucap selawat pada beliau setiap hari dan sejauhmana sunnahnya telah kita ikuti?


Kenapa kita perlu ada rasa cinta pada Rasulullah saw ini? Jika kita lihat, kecintaan sahabat-sahabat pada Rasulullah saw melebihi kecintaan pada diri mereka sendiri. Mereka sanggup mengorbankan nyawa sendiri bahkan berkorban apa sahaja demi Rasulullah tercinta...Mengapakah mereka sangat-sangat mencintai baginda sehingga jika berpisah sekejap, tidak bertemu beliau, akan merasa kerinduan yang amat sangat? Kalau boleh mereka tidak mahu berpisah dengan baginda walaupun seketika! Begitulah kesan cinta yang melahirkan rasa rindu yang mendalam.

Tak kenal maka tak cinta. Itulah ungkapan yang sering kita dengar bagi orang yang bercinta. Sahabat-sahabat mencintai Rasulullah ini kerana mereka mengenali keperibadian Rasulullah yang sangat mulia, kasih sayangnya yang sungguh tinggi, keperihatinan baginda tiada tandingnya, kata-katanya yang sungguh memukau dan menyejukkan jiwa....Semua yang diucapkan dan yang dilaksanakan oleh Rasulullah dicontohi dan diikuti semua sekali. Setiap patah yang diucap akan di perhatikan dan dilaksanakan sebaik mungkin...

Semua ini sebenarnya adalah natijah dari didikan baginda terhadap sahabat-sahabatnya. Baginda mengajar dan mendidik sahabat-sahabatnya dengan Al-Quranul Karim yang penuh hikmah, menanamkan hakikat iman dan kecintaan yang mendalam pada Allah, merasai kebenaran Al-Quran yang datangnya dari Allah...Kecintaan pada Allah inilah yang melahirkan kecintaan pula kepada Rasulullah saw yang membawa risalah Allah sebagai panduan dalam kehidupan manusia.

Malahan tidak akan sempurnanya iman sesaorang selagimana dia tidak meletakkan kecintaannya kepada Rasul melebihi keluarganya, harta, isteri dan anaknya seperti yang diriwayatkan dalam sepotong hadith...

" Tidak sempurna iman sesorang sehinggalah dia mengasihiku lebih daripada kasih kepada dirinya, anaknya, hartanya dan manusia seluruhnya."

Cinta Allah dan Rasul merupakan syarat sempurnanya iman seseorang... Maka para sahabat yang terdidik telah mencapai tahap kesempurnaan iman...sehingga tiada lagi yang paling mereka kasihi melainkan hanya Allah dan Rasul! Masya-Allah, sungguh tinggi mertabat mereka....kita ini tiada apa-apa jika dibandingkan dengan mereka! Sungguh jauh sekali...betapa banyaknya kecintaan kita pada yang lain, harta dunia, wang ringgit, pangkat dan kedudukan, kemewahan dan kesenangan,  wanita. Atas sebab inilah kita tidak merasai bagaimana sebenarnya kemanisan dan kelazatan iman itu!

 Selagi mana ketiga syarat ini tidak kita penuhi iaitu Allah dan Rasul lebih kita cintai dari yang lain, mengasihi atau membenci sesaorang hanya kerana Allah dan tidak rela kembali kepada kekufuran sebagaimana tidak rela dicampakkan ke dalam api neraka, selagi itulah  kelazatan iman hanya tinggal angan-angan kosong sahaja.....Jiwa tidak mampu merasai kemanisan ini selagi ada cinta selain Allah dan Rasul!!

Jika kita benar-benar kasihkan baginda maka ikutilah baginda dengan penuh ikhlas, segera mengerjakan apa yang disukai dan dikasihi baginda dan menjauhi apa yang dibencinya. Sama-sama kita renungi ayat Quran dibawah ini surah  At-Taubah ayat 62 yang bermaksud :

"  Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mencari keredaaanmu, pada hal Allah dan Rasulnya itulah yang lebih patut mereka cari keredaannya jika mereka itu orang-orang yang beriman."

Firman Allah lagi dalam surah al-Hujurat ayat 1-2 yang bermaksud....
" Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan Rasul, dan bertakwalah kepada Allah.  Sesungguhnya Allah Maha Mendengar Lagi Maha Mengetahui."

Satu perintah dari Allah yang melarang orang Mukmin tidak mendahului Allah dan RasulNya jika kita benar-benar bertakwa padaNya.

Jadi... iman, takwa dan cinta.. sebenarnya perlu dibuktikan kesahihannya melalui amalan dan tindakan.  
bukan setakat dakwaan semata.  Kecintaan pada Allah dan Rasul adalah dengan mengikuti segala surahan dan menjauhi laranganNya. Kehidupan ini kita layari bukan mengikut apa yang kita sukai tapi apa yang Allah dan Rasul sukai.

 Jadi korbankanlah kesukaan diri kita ini supaya kita dapat merasai hakikat bagaimana sebenarnya manis dan lazatnya iman, takwa dan cinta pada Allah dan Rasul...  Indah dan lazatnya cinta Allah dan Rasul ini tiada tolok bandingnya bukan seperti cinta yang dinikmati oleh orang yang bercinta. Yang disulami rasa derita, suka, sengsara, sakit dan sebagainya. Ia hanya boleh dirasai oleh orang benar-benar ikhlas dan terpilih dikalangan hambanya yang beriman. Wallahualam.

Semoga Allah merahmati kita semua dan kita sama-sama berusaha untuk mendapatkan cinta Agung ini, insyaAllah!  Amin Ya Rabbal Alamin.   


Mujahadah adalah jalan kearah Hidayah & Takwa padaNya...

 

Bismillahirrahmanirrahim...

Islam telah menunjukkan kepada kita beberapa jalan yang boleh menyampaikan kita kepada takwa dan salah satu jalan tersebut adalah jalan mujahadah.  Ustaz Said Hawwa telah menjelaskan akan hakikat mujahadah ini...

" Kita bermujahadah ini adalah untuk mendapatkan petunjuk daripada Allah SWT."

Jadi sebenarnya, inilah tujuan mujahadah dalam diri kita agar petunjuk Allah SWT itu masuk kedalam hati kita. Mujahadah juga merupakan jalan untuk menambahkan lagi petunjuk dariNya.
Setelah kita diberi hidayah atau petunjuk dariNya, kita perlu meningkatkan lagi hidayah ini dengan mempertingkatkan mujahadah kita. 
Hidayah itu tidak datang begitu sahaja tanpa usaha kita. Dengan kata lain usaha itu adalah muqaddimah kepada hidayah Allah SWT. Hidayah Allah SWT pula merupakan muqaddimah kepada takwa dan muqaddimah untuk menjadi orang yang muttaqin iaitu orang yang benar-benar bertakwa. Hakikatnya takwa itu adalah anugerah Allah SWT kepada mereka yang benar-benar bermujahadah, bukannya boleh dibuat-buat atau berpura-pura bertakwa...! 

Untuk menjadi orang bertakwa atau menjadi orang yang baik bukannya hanya menggunakan  akal fikiran sahaja, sebaliknya ia sebenarnya mendapat petunjuk dari Allah SWT. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud :
"  Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang yang berbuat baik."

Ayat-ayat di atas merupakan janji Allah SWT kepada mereka yang bermujahadah. Dan sesungguhnya Allah tidak akan pernah memungkiri janjiNya. 

Jadi jelaslah bahawa mujahadah, jihad dan takwa ini saling berhubungan antara satu sama lain. Manakan mungkin kita  mendapat hidayah dan takwa tanpa melalui jalan mujahadah! 

Bagaimanakah jalan mujahadah yang betul yang seharusnya kita lalui?

Untuk bermujahadah ini perlu melalui jalan yang betul bukan ikut saja jalan yang difikirkan betul. Tanpa mengikuti jalan yang betul, walaupun telah bermati-matian bermujahadah, masih tetap tidak mendapat bimbingan dan hidayah dari Allah SWT!  Jalan yang betul itu semestinyalah jalan yang telah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah saw, bukannya jalan yang direka-reka sendiri mengikut akal fikiran dan hawanafsu kita sahaja! 

Dalam hal mujahadah ini Ustaz Said Hawwa ada menjelaskan  tentang titik tolak mujahadah ini, iaitu dimanakah kita harus bermula.....
" Kita mestilah bermula dari nokhtah iman kepada AllahSWT dan bermula dengan nokhtah mentauhidkan Allah SWT."

Jadi mujahadah yang betul mestilah bermula dengan mujahadah untuk beriman pada Allah SWT dan prinsip-prinsip keimanan yang lain secara total tanpa ragu-ragu . Hakikat iman ini mestilah diterima secara sedar dalam jiwa, dan dirasai dihati. Inilah permasalahan awal yang perlu diselesaikan dalam jiwa tanpa mengira waktu, tempat dan suasana.

Pada setiap masa dan ketika,  jiwa perlu sentiasa sedar, perlunya mentauhidkan Allah dalam apa juga keadaan, suasana, masa dan tempat! Perlu merasai kebesaran Allah walau dimana sahaja kita berada kerana Allahlah, Rabb kita yang Maha Mulia,  yang majadikan kita dari tiada dan memberikan kita segala nikmatNya didunia ini.  Maka sewajarnya, hanya Allahlah tempat tumpuan hati kita, tempat kita bergantung harap , Allahlah satu-satunya tempat ubudiah kita dalam hidup ini. Inilah dia jalan mujahadah iman yang sebenar yang telah dilalui oleh generasi sahabat dahulu, yang perlu kita juga melaluinya. 

Mujahadah iman yang benar ini akan dapat membentuk keperibadian diri yang sempurna, iaitu sahsiah Islam yang sebenarnya. Jika kita lihat kembali dalam sirah Rasulullah saw dan para sahabat baginda, telah berlaku perubahan yang sungguh besar dalam  masyarakat . Telah lahir generasi Islam yang benar-benar beriman kepada Allah SWT. Apabila mereka melakukan mujahadah ini, berlakunya perubahan yang menyeluruh dari kufur kepada Allah kepada benar-benar beriman padaNya, daripada jahiliyyah kepada Islam sepenuhnya! Pengembalian diri pada Islam akan menjadi total, bukannya samping-sampingan!  Itulah dia mujahadah yang betul yang merupakan  mujahadah peringkat pertama yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Setelah berlakunya proses mujahadah iman ini, maka barulah akan sampai kepada peringkat mujahadah yang kedua iaitu mujahadah melakukan semua semua  yang fardhu dan meninggalkan semua yang haram. Dengan kata lain, kita wajib  menyempurnakan  Islam yang minima dalam diri dengan melaksanakan semua yang difardhukan dan menjauhi semua yang dilarang oleh Allah atas dasar iman kita padaNya! Inilah tuntutan Islam kepada kita, wajibnya kita mentaati Allah SWT tanpa soal.

Diperingkat Islam minima  ini,  barulah sesaorang akan dapat melakukan ibadahnya dengan betul dalam pengertian ibadah yang sebenarnya seperti mendirikan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, berzakat, menunaikan haji dan melaksanakan segal kerja amal-amal Islami. Semua ibadah yang dibuat tidak terpisah dengan hakikat melakukannya atas dasar iman dan ketaatan semata-mata pada Allah....bukan atas sebab yang lain!

Setelah sampai keperingkat yang kedua ini, maka Insya-Allah peningkatan dirinya akan menjadi sesuatu yang cukup soleh. Dengan bertambahnya hidayah Allah kepada sesaorang, maka akan bertambah takwanya pada Allah SWT.  Seterusnya,  setelah benar benar bermujahadah melakukan amalan fardhu tadi  diikuti pula dengan bermujahadah  melakukan amalan-amalan sunat, maka peningkatannya akan menjadi semakin baik, hidayah Allah semakin bertambah dan ia menjadi  semakin mulia disisi Allah SWT, Insya-Allah!  

Jadi proses mujahadah ini tidak boleh dicampuradukkan susunannya. Ia mesti dimulai dengan mujahadah iman, mujahadah menyempurnakan islam minima dalam diri iaitu melaksanakan segala yang fardhu dan diikuti mujahadah melakukan amalan yang sunat sunat. Ada dikalangan kita yang banyak melakukan amalan sunat tapi ada yang haram masih dibuat dan ada yang fardhu ditinggalkan! 

Tiada amalan yang lebih Allah sukai dan cintai melainkan yang fardhu! Jadi sempurnakanlah terlebih dahulu yang fardhu sebelum menitikberatkan yang sunat-sunat!  Tambahaan pula doa kita sukar Allah terima jika kita masih buat dosa dan maksiat, meskipun amalan sunat kita banyak. Jika kita berbuat dosa, bererti kita menderhakai Allah.....maka bagaimana Allah nak terima amalan yang bercampur aduk dengan dosa dan pahala dan segala doa yang kita panjatkan? Sama-samalah kita renung-renungkan......

Disamping itu, segala amalan fardhu dan sunat  yang dilakukannya bukan hanya untuk dirinya sahaja tapi dia juga berkewajipan mengajak orang lain- isteri, anak, keluarga, saudara mara, jiran,  masyarakat, kearah merealisasikan Islam dalam diri dengan melalui jalan mujahadah yang betul. 

Dalam rangka bermujahadah untuk memperbaiki diri sendiri, adalah  merupakan satu tuntutan Islam   mengajak orang lain sama. Dengan ini,  akan dapat membina masyarakat Islam yang kuat dengan kuatnya iman dan takwa pada Allah SWT.  Kekuatan masyarakat bukan dinilai dengan kekuatan fizikal sahaja tapi dengan kekuatan hatinya yang penuh bertakwa padaNya. 

Kekuatan takwa ini perlu terus dipelihara melalui proses mujahadah yang dapat membawa kepada hidayah Allah. Tanpa mujahadah yang berterusan, lama kelamaan kekuatan akan hilang.. masyarakat akan lemah, kerana lemahnya iman dan takwa pada Allah SWT!

Mujahadah iman dan amal yang berterusan dapat menjaga iman dan takwa kita sentiasa berada ditahap yang kuat.. Melalui mujahadah ini Allah akan memberikan dan menambahkan kepada kita hidayahNya agar terus mantap berada di atas jalanNya, insyaAllah.  Jagalah Allah maka Allah akan menjaga kita!

Ingatlah, hidayah itu adalah anugerah yang sungguh berharga bagi kita melebihi segalanya! Tanpa hidayah Allah kita meraba-raba dalam kegelapan diri yang tiada petunjuk. bencana bagi diri tanpa hidayahNya! Adakah itu yang kita mahu?

Jadi, sama-sama jom kita lakukan mujahadah yang betul ini.....tanamkan iman dalam diri, laksanakan sepenuhnya segala suruhan Allah dalam diri dan tingkatkan amalan sunat kita agar hidayah Allah terus menerus kita dapati Insya-Allah.....

Mudah-mudahan Allah membantu kita untuk istiqamah dalm mujahadah ini, Insya-Allah.



Jadikan Al-Quran itu sebagai panduan hidup...


Bismillahirrahmanirrahim...

Sebuah artikel dari blog iluvIslam untuk renungan diri...semoga bermanfaat, Insya-Allah.

Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya: "Bacalah al- Quran kerana ia akan datang pada Hari Akhirat kelak sebagai pemberi syafaat kepada tuannya."

Riwayat Muslim

Pengajaran Hadis:
i) Al-Quran merupakan kalam Allah dan perlembagaan syariatnya yang kekal abadi. Allah telah menurunkannya kepada manusia sebagai panduan dalam mengharungi kehidupan agar dapat mencapai kebahagiaan di dunia dan akhirat.

ii) Membaca al-Quran merupakan satu ibadah yang boleh menghampirkan diri seseorang itu kepada Allah S.W.T. Pahalanya amat besar iaitu sesiapa yang membaca satu huruf daripada al-Quran, ganjarannya satu kebaikan dan sepuluh ganjaran yang sama dengannya. Selain itu ia juga boleh meberikan syafaat di hari akhirat kelak.

iii) Sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim ada menyatakan bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya :" Perumpamaan Mukmin yang membaca al-Quran adalah seperti limau yang mempunyai bau yang harum dan rasanya sedap. Manakala perumpamaan mukmin yang tidak membaca al-Quran pula adalah seperti tamar yang tidak ada bau tetapi rasanya manis dan sedap."

iv) Membaca al-Quran hendaklah dilakukan dengan beradab sebagai menghormati kalimah Allah di antaranya ialah seseorang itu hendaklah berada dalam keadaan suci (berwudhu') dan membacanya di tempat yang bersih, memulakan dengan membaca Ta'auwuz dan Basmallah, membaca dengan teliti dan perlahan, menjaga makhraj (bertajwid) serta memperelokkan suara sekadar termampu.

v) Pembacaan al-Quran yang paling baik ialah apabila difahami apa yang dibaca. Dengan ini barulah seseorang itu akan dapat merasai nikmatnya yang sebenar.

كَمَا أَرْسَلْنَا فِيكُمْ رَسُولاً مِّنكُمْ يَتْلُو عَلَيْكُمْ آيَاتِنَا وَيُزَكِّيكُمْ وَيُعَلِّمُكُمُ الْكِتَابَ وَالْحِكْمَةَ وَيُعَلِّمُكُم مَّا لَمْ تَكُونُواْ تَعْلَمُونَ
Sebagaimana (Kami telah menyempurnakan nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan menyucikan kamu dan mengajarkan kepadamu Al Kitab dan Al-hikmah (As Sunah), serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui
(Surah Al-Baqarah 2: Ayat 151)

Insya-Allah, semoga Al-Quran sentiasa dihati...tak baca sehari seolah-olah ada kekurangan pada hari itu. Membaca kalamullah adalah penawar yang menenangkan jiwa...

Ya Allah, jadikan hati ini mencintai Al-Quran...Amin Ya Allah!

Keterikatan hati (obsesi) pada Akhirat



Bismillahirrahmanirrahim.....

Dari Hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh At- Tirmidzi yang bermaksud....
“ Barangsiapa yang menjadikan akhirat obsesinya, Allah menjadikan hatinya kaya, melancarkan semua urusannya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk.  Barangsiapa yang menjadikan dunia obsesinya, Allah akan menjadikannya miskin, mengacaukan semua urusannya dan dunia datang kepadanya sebatas yang ditakdirkan untuknya.”

Dari hadis  di atas menjelaskan kepada kita , sesiapa yang memahami hakikat tujuan penciptaan dirinya iaitu berubudiah hanya senya pada Allah SWT dan menjadikan perkara ini sebagai kesibukannya yang utama dan pertama, insyaAllah, Allah akan memberikan kemudahan dari seluruh  urusan dunianya, tidak perlu bersusah payah mengejar dunia!

Sebaliknya dunia akan lari dari orang yang obsesinya  adalah dunia, dimana ia lupa akan tujuan penciptaan dirinya dan hanya mementingkan keinginan hawa nafsu dalam dirinya. Semakin di kejar dunia semakin ia terlepas dari tangan mereka.

Pesanan orang –orang soleh tentang perkara ini..
1.  Sesiapa yang bekerja untuk  akhiratnya, maka Allah SWT membuatkan kecukupan dalam masalah dunia
2. Sesiapa yang memperbaiki hubungan dirinya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki hubungannya dengan manusia.
3.  Sesiapa yang memperbaiki keadaan dirinya di saat bersendirian, maka Allah akan memperbaiki keadaan dirinya di saat bersama orang lain.

Namun perkara kedua dan ketiga tidak mampu dilaksanakan jika perkara pertama tidak di kerjakan terlebih dahulu.

Para generasi tabiin pencari akhirat menjelaskan tentang bagaimana seharusnya kita berjalan
menuju akhirat dalam kehidupan kita didunia ini.  Salah seorang generasi tabiin Al- Harits bin Qais Al-Ja’fi berkata......
“ Jika kamu mengerjakan salah satu dari urusan akhirat janganlah terburu-buru. Sebaliknya jika kamu sedang mengerjakan urusan dunia hendaklah kamu terburu-buru. Jika kamu inginkan kebaikan , janganlah tunda. Jikalau syaitan datang kepada kamu ketika kamu sedang solat, dan berkata kepada kamu, ‘ Kamu berbuat riya’, maka solatlah lebih lama lagi.”

Persoalan-persoalan  yang perlu kita fikirkan......
·        Jika kita menjadikan akhirat obsesi kita, kenapakah kita perlu terburu-buru? Disaat kita mengerjakan urusan akhirat kita, contohnya solat kita, zikir dan qiyamulail kita kenapa perlu terburu-buru ingin mempercepatkannya?  Sepatutnya memperuntukkan lebih banyak masa dan tenaga dalam urusan akhirat ini!
·         Jika kita takut mati dalam suul khatimah (kesudahan yang buruk) dan takut salah dan berbuat dosa, kenapa mesti berlama-lama dalam urusan dunia? Padahal kita tahu dunia adalah penyebabnya suul khatimah ini! Percepatkan urusan dunia kita yang memang pasti akan melalaikan kita jika banyak masa dan tenaga kita tumpukan untuk hal-hal keduniaan ini!  Perlunya kita berhati-hati dengan tipu daya dunia yang menjadikan indah segalanya yang terbentang di hadapan mata....!

Apa yang penting ambilah sekadar keperluan untuk dunia ini.....cukup sebagai bekal kita sebagai seorang musafir lalu dalam perjalanan menuju kampung akhirat yang kekal abadi. Dalam perjalanan kita menuju akhirat yang kekal abadi , segala sesuatu yang kita perolehi di dunia ini kita meng’akhirat’kan dunia kita. Maknanya,  matlamat hidup kita adalah untuk mencari kebahagiaan di akhirat semata-mata! Dunia ini bukanlah tempat kita mencari harta  milik kita. Tiada sesuatupun yang kita miliki sebenarnya hatta diri kita ini adalah milik Allah SWT.  Harta hakiki yang perlu kita cari bukanlah harta dunia yang sering direbut-rebutkan tapi harta kita adalah iman dan takwa yang tersemat kukuh di sanubari! 


Sahabat-sahabat generasi tabiin begitu obses dengan akhirat, mereka tidak pernah meminta harta dunia dari pemilik hakiki harta ini iaitu Allah SWT, apatah lagi meminta harta dari manusia!
Satu contoh untuk kita renungi iaitu kisah seorang cucu kepada Saidina Umar Al-Khattab iaitu Salim bin Abdullah bin Umar  bila ditanya oleh Khalifah pada masa itu, Hisyam bin Abdul Malik......

Suatu hari ketika Hisyam masuk ke dalam Kaabah , disana sudah ada Salim di dalamnya.  Ketika kedua-duanya berada di dalam Kaabah, Hisyam berkata kepada Salim, “ Hai Salim , Beritahu kepadaku apakah keperluanmu?
Jawab Salim,  “ Aku malu pada Allah jika meminta selain Dia di Baitullah ini.” 
Apabila Salim keluar dari Kaabah , Hisyam mengikutinya keluar dan bertanya lagi kepada Salim,” Sekarang engkau telah keluar dari Kaabah, beritahu aku apakah keperluanmu. Salim bertanya pula kepada Hisyam, “ Keperluan apa, keperluan dunia atau keperluan akhirat? Hisyam  menjawab, “ Tentulah keperluan dunia.”
Tapi Salim menjawab dengan penjelasan ini.....
“ Aku tidak pernah meminta dunia pada pemilik hakiki dunia.  Bagaimana aku harus memintanya pada orang yang tidak memilikinya?’  

Generasi Tabiin yang soleh seperti Salim bin Abdullah bin Umar ini sentiasa merasai pengawasan Allah dalam semua aspek kehidupan mereka di dunia ini. Mereka ‘melihat’ Allah dalam segala hal. Dengan pengawasan Allah yang mereka rasai ini,  menjaga mereka dari dari berbuat dosa dan maksiat kepada Allah. 

Berbezanya dengan kita . Akibat lupanya kita kepada pengawasan Allah dalam diri kita,  membuatkan kita senang bermaksiat pada Allah.. Seorang ahli ibadah Bilal bin Saad  berkata......
“ Kamu janganlah melihat kecilnya dosa , namun lihatlah kepada siapa kamu bermaksiat.”

Jadi tidak boleh kita meremehkan dosa-dosa kecil yang kita lakukan, apatah lagi dosa besar! Melakukan dosa menunjukkan keingkaran kita untuk taat pada Allah dan menzalimi diri kita sendiri.   Cepat cepat kembali padaNya bila tersasar dalam kehidupan ini....Rahmat Allah begitu luas kepada sesiapa yang ingin bertaubat dan kembali pada Allah SWT.

Tarbiyah Akhirat mendidik jiwa..



Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, dipagi Sabtu yang sejahtera ini, disini dapat sama-sama ku kongsikan satu artikel yang bagus untuk peringatan bersama supaya hati kita sentiasa dapat terikat dengan hari akhirat di mana jiwa yang selalu terikat dengan akhirat akan mendapat manafaat yang banyak, tidak tamak dengan dunia yang fana ini, mengutamakan akhirat dari hawa nafsu yang sentiasa berkeinganan pada dunia.
 
Sesungguhnya akhirat itu lebih baik dan lebih kekal dari dunia...hakikat inilah yang perlu sentiasa kita yakinkan dalam diri kita, kerana sebenarnya apa yang diyakini dijiwa itulah yang akan kita usahakan. Keyakinan dan kesedaran yang sebenar akan membuahkan amalan, bukan setakat kita ucapkan..!!

Binalah keyakinan ini dengan banyak mendampingi Al-Quran, Hadith dan Sunnah Rasul
dan berusaha untuk mengamalkan. Ilmu tanpa amal dan usaha tidak dapat melahirkan keyakinan yang mendasari jiwa, tidak mendidik hati.... Jadi dekati Al-Quran itu dengan hati kita, mengisi roh dan perasaan kita sehingga kita rasa tersentuh dengan peringatanNya. Sentuhan AlQuran dijiwa inilah yang dapat melahirkan perubahan hati insan, perubahan akhlak mengikut acuan Al-Quran! 
Dalam satu hadith , Rasulullah SAW bersabda, 

“Barangsiapa akhirat menjadi obsesinya, maka Allah menjadikan semua urusannya lancar, hatinya kaya dan dunia datang kepadanya dalam keadaan tunduk. Dan, barangsiapa dunia menjadi obsesinya, maka Allah mengacaukan semua urusannya, menjadikannya miskin dan dunia datang kepadanya sebatas yang ditakdirkan untuknya.”

Barangsiapa yang menjadikan akhirat kesibukan utamanya dan obsesinya, maka setiap hari ia ingat perjalanan hidupnya kelak, apa pun yang ia lihat di dunia pasti ia hubungkan dengan akhirat, dan akhirat selalu ia sebut di setiap pembahasannya. Ia tidak bahagia kecuali kerana akhirat, tidak sedih kecuali kerana akhirat. Tidak redha kecuali kerana akhirat. Tidak marah kecuali kerana akhirat. Tidak bergerak, kecuali kerana akhirat. Dan tidak berusaha kecuali kerana akhirat. 
Orang sebegini diberi tiga kenikmatan oleh Allah SWT di mana nikmat  ini hanya diberikan kepada siapa saja yang Dia kehendaki diantara hamba-hambaNya, iaitu orang-orang yang menyiapkan jiwanya hanya untuk ALLAH Ta’ala dan tidak ada selain DIA yang masuk ke hati mereka, baik berupa berhala-berhala dunia, atau perhiasan, atau pesonanya. 
Nikmat tersebut adalah sebagai berikut: 
1. Seluruh urusan hidupnya lancar 


Allah SWT memberinya ketenteraman dan kedamaian, mengumpulkan semua ideanya, meminimakan sifat lupanya, mengharmonikan keluarganya, menambah jalinan kasih sayang antara dirinya dan pasangannya, merukunkan anak-anaknya, mendekatkan anak-anak padanya, menyatukan kaum kerabat, menjauhkan konflik dari mereka, mengumpulkan hartanya, ia tidak bimbang memikirkan perniagaannya yg tidak begitu baik, tidak bertindak seperti orang bodoh, membuat hati manusia terarah padanya, siapapun mencintainya dan melancarkan urusan-urusan yang lain. 


2. Kaya hati 


Nikmat yang paling agung adalah kaya hati, sebab Rasulullah SAW bersabda dalam hadith sahih, yang ertinya; 
“ Kekayaan hakiki bukan bererti harta melimpah. Tapi, kekayaan ialah kekayaan hati” (HR. Muslim) 
Imam Al Manawi berkata; maksudnya, 
" Kekayaan terpuji itu bukan banyak harta dan kebendaan. Ini kerana banyak sekali manusia dijadikan kaya oleh Allah, namun kekayaannya yang banyak itu tidak bermanfaat baginya dan ia bercita-cita menambah kekayaannya, tanpa peduli dari mana sumbernya." 

Walaupun kaya harta, ia seperti orang miskin kerana begitu kuat keinginannya pada dunia. Orang seperti itu miskin selama-lamanya keranan tidak pernah rasa cukup. Tapi, kekayaan terpuji dan yang sebenarnya adalah kekayaan hati. 

Disamping itu kekayaan jiwa juga bermaksud orang yang kaya jiwa merasa tidak bimbang akan rezekinya, menerimanya dengan lapang dada, dan redha dengannya, tanpa memburu-buru dan meminta-minta. 

Barangsiapa dijaga jiwanya dari kerakusan dunia , maka jiwanya tenteram, agung, bersih, mulia dan terpuji. Jiwa sebegini jauh lebih baik dari kekayaan yang diterima oleh orang yang miskin hatinya. Kekayaan akan membuat orang yang miskin hatinya  terperosok dalam hal-hal hina dan perbuatan-perbuatan murahan, kerana kecilnya obsesi  hatinya terhadap akhirat. Akibatnya, ia menjadi orang kerdil  dan hina di jiwa manusia. 

Jika seseorang mempunyai harta yang berlimpah ruah, namun ia tidak qana’ah (merasa cukup) dengan rezeki yang diberikan Allah SWT kepadanya, maka hatinya sentiasa rasa  tamak haloba, tidak pernah puas dan cukup seperti binatang buas dan menjadikan hartanya sebagai tuhan baru. Sesungguhnya orang sebegini adalah orang miskin yang sejati, kerana orang miskin ialah orang yang selalu tidak punya harta dan senantiasa merasa tidak cukup. 

Dikisahkan, ada seorang yang kaya berkata kepada seorang sufi yang  zuhud iaitu Ibrahim bin Adham..

“Saya ingin awak menerima jubah ini dariku.” Ibrahim bin Adham berkata,”Kalau awak kaya, saya mahu menerima hadiah ini. Jika awak miskin, saya tidak mahu menerimanya.” Orang itu berkata, ”saya seorang yang kaya.” 
Ibrahim bin Adham berkata, ”Awak mempunyai berapa helai jubah?” Orang itu menjawab,”Dua ribu jubah.” Ibrahim bin Adham berkata,”Apakah awak ingin mempunyai empat ribu jubah?” Orang kaya itu menjawab, “Ya.” Ibrahim bin Adham berkata,”Kalau begitu anda sebenarnya miskin (kerana masih memerlukan jubah lebih banyak lagi). Saya tidak mahu menerima hadiah jubah ini darimu.” 


3. Dunia datang kepadanya 
Saat ia lari dari dunia,  dunia akan mengejarnya dalam keadaan tunduk. Seperti yang dikatakan Ibnu Qayyim Al-Jauzi, 


” Dunia itu bayangan. Jika engkau berpaling dari bayangan, maka bayangan itu mengekorimu. Jika engkau memburu bayangan, maka bayangan menghindar darimu. Orang zuhud tidak menoleh kepada bayangan malah diikuti bayangan. Sedang orang (rakus tidak melihat bayangan setiapkali ia menoleh kepadanya.” 


Bila sesaorang yang menjadikan dunia  obsesinya, ia akan hanya memikirkan dunia, bekerja kerana dunia, peduli kepada dunia, tidak bahagia kecuali kerana dunia, tidak berteman dan memusuhi orang kerana dunia. Pendekata segala-gala adlah kerana dunia semata-mata. Akibatnya, ia dihukum oleh Allah SWT dengan tiga hukuman; 



1. Urusannya selalu kacau 
Allah SWT mengacau bilaukan semua urusannya. Hatinya menjadi  tidak tenang, fikirannya kusut, jiwanya sentiasa resah dan kalut dalam pelbagai hal. Allah SWT mengacau bilaukan hartanya, anak-anak dan pasangannya. Allah SWT membuatkan manusia tidak simpati kepadanya. Tidak ada seorangpun yang mencintainya sebab Allah SWT menentukannya dibenci orang di bumi. 

2. Selalu miskin 
Hukuman ini membuatnya hatinya selalu tidak puas, padahal dia memiliki harta yang banyak. Ia sentiasa merasa miskin dan menjadikannya sentiasa tamak haloba mengejar harta. 

3. Dunia lari darinya 
Dunia selalu lari darinya. Ia memburu-buru dunia namun dunia menjauhinya dan ia  mengejar dunia  persis seperti orang yang melihat fatamorgana itu umpama air. Ketika ia tiba di fatamorgana itu, ia tidak mendapatkan apa-apa hanya bayangan . 

Inilah yang membuat Utsman bin Affan Radhiyallahu Anhu berkata, 
Obsesi dunia itu kegelapan di hati, sedang obsesi kepada akhirat itu cahaya di hati.” 


Di dunia ini ada  tiga golongan  manusia  dalam kehidupan: 


1. Orang yang lebih sibuk dengan akhirat daripada dunia. 
Mereka membuat hidupnya didominasi oleh akhirat. Dunia hanya diletakkan digenggaman tangannya bukan di hatinya. Dunia ini adalah ladang akhirat. Ini adalah golongan manusia yang beruntung.  

2. Orang yang lebih sibuk dengan dunia daripada dengan akhirat 
Mereka begitu cinta dunia hingga dunia menguasainya dan membuatnya lupa kepada akhirat dan mereka juga tidak tahu bahawa dunia itu jambatan menuju akhirat. Ini adalah kelompok orang yang celaka. 

3. Orang yang sibuk dengan kedua-duanya sekaligus. 
Golongan ini tidak ingin masuk pada golongan pertama atau kedua, namun ingin mendapatkan sebahagian ciri-ciri golongan pertama dan sebahagian golongan kedua. Mereka ini adalah golongan yang berada dalam situasi krisis dan dilema.  Mereka ini mencampur adukkan dunia dan akhirat, sehingga kadang-kadang tidak jelas matlamat dunia mahupun akhiratnya.

Bagi kita,  sudah tentu kita ingin tergolong dalam golongan yang beruntung  iaitu golongan pertama yang mengutamakan akhirat dalam kehidupan dunia yang fana ini. Perlunya kita mengetahui ciri-ciri golongan pertama ini agar dapat kita usahakan dalam diri kita, insyaAllah.

Di antara ciri-cirinya adalah...

1. Hatinya sedih kerana akhirat 
Sedih kerana akhirat, memikirkan bagaimanakah nasibnya di sana nanti. Rasa sedih ini adalah kerana memiliki perasaan takut kepada Allah Ta’ala, takut akan azab Allah SWT nanti,  lalu ia menghisab dirinya sebelum ia dihisab kelak di akhirat kelak. 

2. Selalu mengadakan Muhasabah (evaluasi diri) 
Menghisab diri, menghitung-hitung amalan sehari-hari sama ada semakin bertambah atau semakin berkurang. Dia sentiasa berusaha memperbaiki amalannya hari demi hari yang berlalu.

Umar bin Khattab ra berkata....
“Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab. Timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang. Dan, bersiap-siaplah menghadapi Hari Kiamat.” 


3. Selalu beramal untuk akhirat 


Amal soleh bukan hanya setakat solat, puasa, membaca Al-qur’an dan dzikir, tapi amal soleh adalah apa saja yang dicintai Allah Ta’ala dan dia berusaha melaksanakan amal soleh itu semampu yang mungkin sebagai bekalan diakhirat sana.

4. Tersentuh hati dan merasa sensitif melihat pemandangan kematian.
Mati itu sesuatu yang pasti dan benar, hanya menanti-nanti giliran bilakah akan dipanggil pulang oleh Allah SWT! 

Seorang tabi’in Ibrahim An Nakhai berkata, 
Jika kami datang ke rumah orang yang meninggal dunia atau mendengar ada orang yang meninggal dunia, hal itu membekas pada kami hingga berhari-hari, kerana kami tahu ada sesuatu (ajal) datang pada orang tersebut, lalu membawanya ke syurga atau neraka” 


Itulah satu peringatan yang berguna buat diri kita semua, bahawa sesungguhnya kehidupan ini adalah jalan untuk kembali kepada Allah, kehidupan ini adalah umpama sebuah sekolah yang laporannya nanti akan diserahkan di akhirat. Mari kita sama-sama  muhasabah diri kita, selalu meluruskan niat kita hanya kepada Allah dan berdoa kepada-Nya memohon ketetapan iman di hati sampai pada hari kematian kita nanti, insyaAllah. 



“Yaa muqollibalquluub tsabbit qolbiy alaa diinika” 
Wahai Dzat yang membolak-balik hati, kukuhkan hatiku tetap berada di atas agamamu! 
Amin Ya Rabbal 'Alamin...