Bismillahirrahmanirrahim....
Orang-orang beriman yang
terdahulu dari umat ini sangat mementingkan keikhlasan dan sangat
mengharapkan agar sentiasa di peringatkan diri supaya sentiasa ikhlas.
Ini adalah kerana sifat ikhlas itu tersangat penting kerana ia merupakan
perintah Allah dan ia adalah merupakan syarat utama kehidupan sesaorang
Muslim itu di terima atau diredhai oleh Allah SWT. Banyak firman Allah
dalam ayat-ayat Quran yang menyebut tentang ikhlas ini di antaranya,
dalam surah Al-Bayyinah :5 yang bermaksud...
" Padahal mereka tidak disuruh kecuali menyembah Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepadaNya."
Niat
yang ikhlas adalah dari buah tauhid yang sempurna iaitu mengesakan
Allah dalam seluruh kehidupan. Seperti kata Imam As-Syahid Hasan
Al-Banna tentang ikhlas ini , " Ikhlas ialah setiap akh Muslim
mestilah mengharapkan keredhaan dan ganjaran pahala daripada Allah SWT
sahaja. Semua perkataan, amalan dan jihadnya tidak memandang kepada
sebarang keuntungan, kemenangan, kemegahan, gelaran, kemajuan atau
kemunduran. Dengan itu ia menjadi tentera fikrah dan aqidah bukan
tentera yang mengejar manfaat atau keinginan.."
Jalan-jalan menuju keikhlasan ini sangatlah sulit kerana
rintangannya banyak berupa hawa nafsu, dunia dan syaitan yang menggoda.
Jalan-jalannya berliku dan memerlukan seorang hamba Allah itu mengikuti
jalan-jalan dan panduan-panduan yang tertentu. Jalan-jalan tersebut
adalah
- Minta pertolongan dengan Allah SWT.
Dalam kehidupan ini,
seorang Muslim akan menempuh banyak rintangan dan ujian hidup. Jadi
untuk dia menjadi seorang yang ikhlas bukanlah mudah akibat kelemahan
diri sendiri sama ada zahir atau batinnya. Disamping itu, godaan dunia,
hawa nafsu dan syaitan sering menjadikan dirinya kecundang dalam ujian
hidup ini, maka sudah sewajarnyalah dia memohon pertolongan dari Allah
SWT untuk membantunya menjadi seorang yang ikhlas.
Meminta pertolongan dari Allah SWT perlulah dengan penuh
kerendahan hati, rasa lemah, fakir dan hina di hadapan Allah SWT.
Merasakan kita ini sangat-sangat memerlukan Allah sentiasa dalam
melayari kehidupan ini, kerana tanpa pertolongan dariNya kita sebenarnya
tidak dapat melakukan apa-apa hatta mengerdipkan mata kita sekali pun!
Segala sesuatu itu sebenarnya dibawah kekuasaan Allah! Firman Allah SWT
dalam surah Al-Fathir :15 yang bermaksud...
" Wahai manusia, kamulah yang berkehendakkan kepada Allah, dan Allah Dialah Yang Maha Kaya lagi Maha Terpuji."
Jika Allah membiarkan kita, ini adalah kerana kita juga yang melupakan
Allah ; kita akan jadi hamba pada nafsu, hamba pada dunia dan hamba
pada syaitan! Sengsaralah hidup kita, sesaklah jiwa kita, tidak tenang
dan sentiasa keluh kesah.... Namun bila kita kembali padaNya, sentiasa
ingat padaNya, Allah akan menjadikan kita cinta pada iman dan ketaatan,
benci pada dosa, kufur dan maksiat......
Firman Allah dalam Surah Al-Hujurat :47 yang bermaksud....
"
Tetapi Allahlah yang menjadikan kamu cinta pada keimanan dan menjadikan
keimanan itu indah di dalam hatimu dan menjadikan kamu benci pada
kekafiran, kefasikan dan kedurhakaan."
Dan lagi dalam Surah An-Nur : 21.....
" Tetapi Allahlah yang membersihkan sesiapa yang dikehendakinya. Dan Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui."
- Mengakui nikmat Allah SWT yang banyak.
Didalam semua kebaikan yang
kita perolehi, kita perlu merasakan nikmat Allah SWT, kerana setiap
kebaikan itu merupakan anugerah Allah SWT kepada hambaNya. Allah SWT
telah memilih kita diantara jutaan manusia dimuka bumi ini, untuk
menerima hidayah Islam yang merupakan nikmatNya yang terbesar! Dia
mengeluarkan kita dari kegelapan jahiliyyah kepada cahaya iman dan
Islam.
Sewajarnya kita
perlu merasa sangat bersyukur dan menghargainya dengan sepenuh hati kita
dan melaksanakan tuntutan Islam dalam kehidupan ini. Sesungguhnya,
sememangnya kita sekarang tenggelam dalam lautan nikmat Allah SWT yang
tidak putus-putus pada diri kita. Kesyukuran kita diatas nikmat Allah
ini sebenarnya juga di dorong dan ditolong oleh Allah SWT. Dalam surah
Al-Ahqaf : 15 merupakan doa seorang hamba dalam membantunya untuk
bersyukur..............
" Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku.."
- Mengambil berat dalam usaha perbaiki diri dan persiapan diri.
Ramai manusia merasakan
dirinya lebih baik , lebih berilmu, lebih cekap,.........lebih segalanya
.. dari orang lain. Lantas, mereka memandang orang lain dengan
pandangan remeh, kecil, dan hina. Dia merasa ego dan meninggikan
dirinya, sukakan populariti, sedikit yang dibuat digembar-gemburkan pada
orang........keikhlasannya sudah tiada lagi pada Allah SWT!
Jika ikhlas kepada Allah SWT , tidak perlu dihebahkan apa yang di
perbuat pada orang lain, sepatutnya disembunyikan terutama apabila
tengah mendidik dan membentuk diri. Dia tidak perlu pada populariti dan
keributan bahkan ketenangan yang didambakan. Dia berhati-hati dan tidak
tergesa-gesa dalam tindakannya untuk mendapatkan hasil yang baik.
Seorang Muslim dalam fasa persiapan dan pembentukan diri umpama benih
yang baik yang tertanam dalam tanah yang subur jauh dari sinar
matahari. Benih tersebut berkembang tersembunyi dalam tanah sehingga ia
matang dan kemudian muncul di permukaan bumi , insyaAllah bersedia
menjadi pokok yang kuat! Namun benih yang dari awal lagi terdedah di
atas bumi, terkena sinaran matahari yang terik, tidak boleh berkembang
malah akhirnya ia mati sebelum sempat jadi pokok!
Seorang Muslim hendaklah bersembunyi dengan kejahilannya agar amal dan
keadaannya tidak tersebar. Dengan cara ini dia akan menutup pintu-pintu
syaitan yang cuba merosakkan dirinya. Dia akan dapat banyak manfaat
daripada orang yang mengajarnya kerana mereka menganggapnya masih jahil.
Selain dari itu,
dia lebih suka menolak kepimpinan lebih-lebih lagi bila persiapan diri
tidak mencukupi. Namun jika hal ini tidak dapat di elakkan, hendaklah
dia menjaga keikhlasannya. Semasa melaksanakan tugas kepimpinan, dia
tetap menyukai dan menghayati sifat sebagai seorang tentera yang bekerja
untuk Islam tanpa perlu ada keributan! Dia menerima tanggungjawab itu
dengan penuh rasa takut dan bimbang sehingga keadaannya seperti orang
yang ditimpa musibah kerana dia sedar ini akan dipertanggungjawabkan
dihadapan Allah SWT nanti! Ketakutan itu akan mendorongnya untuk....
1. Selalu mohon pertolongan dengan Allah SWT
2. Sentiasa berfikir terhadap kerja-kerja atau langkah-langkahnya.
3. Selalu meminta pertimbangan orang-orang disekitarnya
4. Tidak berkeras dengan pendapat sendiri.
5. Tidak tergesa-gesa mengambil sesuatu keputusan
6. Selalu muhasabah dengan amalannya sama ada besar atau kecil..sehinggalah dia jadi pemimpin yang baik.
- Merasa curiga dengan nafsu
Sepatutnya kita harus rasa
curiga dengan keikhlasan kita yang sering diganggu nafsu. Sebelum dan
semasa melakukan amalan, telitilah keikhlasan kita, berusaha
membersihkan niat dan memohon pertolongan dari Allah SWT. Setelah kita
melakukan amalan kita, semaklah semula niat kita....kita akan ketahui
sebenarnya jalan-jalan menuju keikhlasan ini bukanlah mudah.........
Dihadapannya terbentang dunia dengan keindahannya, syaitan dengan
rayuannya dan nafsu dengan kejahilan dan kerakusannya! Tidak ada orang
yang akan sanggup menempuh jalan keikhlasan ini kecuali orang yang
meminta pertolongan dari Allah SWT, meneliti hakikat ubudiyyah padaNya
dan berjihad melawan hawa nafsunya.
Semua manusia akan hancur kecuali orang-orang yang berilmu. Semua orang
-orang yang berilmu akan hancur kecuali orang-orang yang beramal. Semua
orang yang beramal akan hancur kecuali orang yang ikhlas. Dan semua
orang yang ikhlas berada dalam bahaya dan ancaman yang besar yang
bersiap sedia untuk menghancurkan keikhlasannya.
Penyakit-penyakit hati yang bercampur baur dengan ikhlas dan
merosakkan niat dalam beramal lebih merbahaya dari penyakit tubuh badan.
Penyakit ini boleh menggugurkan pahala dan menjauhkan manusia dari
jalan dakwah yang benar. Penyakit hati ini hanya boleh dibendung melalui
tarbiyyah, iman dan takwa pada Allah SWT. Tertegaknya Islam dengan
adanya da'i yang ikhlas, murabbi dan pekerja yang ikhlas yang berpegang
teguh pada prinsip dan sedia berkorban tanpa memikirkan manfaat
duniawi!