Bismillahirrahmanirrahim.....
Seringkali kita mendengar ungkapan " Kamu ni makan untuk hidup atau hidup untuk makan?"
Jika diamat-amati betul-betul, sebenarnya ungkapan ini akan membuatkan
individu rasa terpanggil untuk muhasabah diri tentang apakah matlamat
kehidupan dalam alam raya ini.
Adakah matlamat hidup ini
semata-mata untuk cari makan sehingga melanggar syarak semata-mata untuk
memuaskan nafsu, mengenyangkan perut? Justeru itu, kita ini hamba pada
siapa....pada Allah atau hamba pada nafsu, syaitan pangkat, harta dan
wanita?
Ada orang yang bergaji besar
sehingga mencapai puluhan ribu ringgit sebulan tetapi tetap merasakan
wangnya tidak cukup untuk menampung kehidupan diri dan keluarga, malah
terpaksa meminjam wang dari rakannya yang lain yang gajinya kurang
darinya? Kenapa berlaku sedemikian?
Mencari harta kekayaan itu
merupakan satu keperluan dalam kehidupan, malah Islam menyuruh kita
mencari kekayaan selama mana ia menepati kehendak Islam dalam memenuhi
keperluan diri, keluarga, masyarakat dan ummah. Orang Muslim yang
berharta dapat memanfaatkan hartanya di jalan Allah dan membantu mereka
yang memerlukan. Alhamdulillah.
Harta merupakan satu kekuatan
dalam Islam yang perlu dicari. Tapi perlu diingat dalam mencari harta
kekayaan ini, janganlah terlalai dan terleka sehingga mengabaikan diri
dalam mencari keperluan bekal untuk dibawa keakhirat. Sama-sama kita
renungi surah Al-Qasas ayat 7 yang bermaksud...
" Dan tuntutlah dengan harta
kekayaan yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan
kebahagiaan hari akhirat dan janganlah kamu melupakan bahagianmu(
keperluan dan bekalan) didunia."
Harta yang kita hendak cari dan
kumpul semestinya hendaklah membawa keberkatan dalam hidup kita. Tiada
ertinya harta yang banyak yang tidak berkat yang akan menjadi penyesalan
dan kesedihan di kemudian hari. Bila ada keberkatan, harta atau rezeki
yang sedikit dirasakan banyak dan mencukupi.. Sebaliknya bila tiada
keberkatan, walau harta banyak, sentiasa rasa tidak cukup, sempit dan
susah! Yang mana satu realiti diri kita?
Sebagai seorang Muslim yang
beriman pada Allah, perlu ada rasa keyakinan dihati bahawa segala harta
yang diperolehi melalui jalan yang tidak diredai Allah tidak akan
membawa keberkatan dan ketenangan. Malah hati sentiasa rasa
susah...sehingga ada jutawan sanggup bunuh diri sendiri, ada yang
sanggup melakukan pekerjaan terkutuk, banyak masalah jiwa?
Keberkatan, ketenangan dan
kebahagiaan ini bukannya boleh kita beli di pasaraya. Ia adalah
satu anugerah Allah kepada hambaNya yang taat dan patuh pada perintahNya. Anugerah ini juga hanya akan diberi kepada mereka yang mempunyai
harta yang berkat.
Jadi, dalam kita mencari makan
untuk mengumpul harta.. telitilah jalan-jalannya, adakah ia menepati
syarak, tidak mengambil rasuah, tidak curi tulang semasa bekerja dengan
majikan, tidak mengambil hak orang lain, adakah dia jujur dan ikhlas
dalam melakukan kerja kerana Allah bukan untuk membodek supaya naik
pangkat cepat? Harta yang terkumpul dengan jalan yang syarak itu pula
supaya lebih berkat....perlu ditunaikan hak-hak zakatnya dan sedekah.
Janganlah mengumpul harta
melalui jalan rasuah, jalan riba, kerana ia tergolong dalam
dosa-dosa besar yang wajib dihindari. Kekayaan dari harta riba dan
rasuah ini tidak berkat, menghakis ketenangan dan kebahagiaan serta
membuahkan banyak masalah dan kesedihan. Harta yang haram ini juga bila
di gunakan untuk menyara keluarga...menjadikan keluarganya tidak
'menjadi'..bermaksud susah terdidik dengan Islam, keras hati, akhlak
yang buruk dan sebagainya. Malah daging yang tumbuh dari harta yang
haram ini selayaknya dibakar denga api neraka!
Renungi firman Allah tentang perkara ini dalam surah Al-Baqarah :188 yang bermaksud...
" Dan
janganlah kamu makan ( atau mengambil) harta (orang lain) di antara
kamu dengan jalan yang salah dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu
(memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau
mengambil) sebahagian harta orang lain dengan berbuat dosa, pada hal
kamu mengetahui."
Dalam satu hadis pula riwayat Ibnu Majah..." Laknat Allah ke atas pemberi dan penerima rasuah"
Laknat Allah pada pemberi
dan penerima rasuah ini berlaku di dunia lagi bahkan di akhirat nanti
mereka akan ditimpakan azab yang sungguh pedih dalam neraka. Kesenangan
yang sementara di dunia mengundang kesusahan yang berpanjangan di hari
akhirat....Adakah ini yang kita mahu?
Semua persoalan di atas hanya
iman di jiwa yang dapat menjawabnya. Betapa ramai masyarakat Muslim kita
yang tahu tentang haramnya rasuah dan riba. Tapi masih melakukannya.
Malah mengatakan ruginya kita membeli barang contohnya kereta secara
wang tunai yang banyak, lalu digunakan sistem pinjaman bank yang
melibatkan riba untuk membeli kereta. Jadi wang tadi boleh dilaburkan
dalam bank, main saham yang tidak tentu halal haramnya dan dapat banyak
keuntungan! Tapi awas untung di dunia tidak semestinya untung di
akhirat, malah rugi ada!
Iman, rasa tawaduk dan warak
pada Allah sahaja lah yang dapat menjaga diri kita dari perkara-perkara
yang diharamkan. Allah lah yang memberikan kekuatan jiwa untuk menolak
yang haram ini kerana apabila kita menjaga Allah, Insya-Allah Allah akan
menjaga kita. Bisikan dijiwa sentiasa ada rasa takut untuk melanggar
apa yang di haramkan olehNya. Dan hakikat inilah yang telah hilang dan
terhakis di jiwa kebanyakan masyarakat Muslim sekarang...iaitu di
mana Allah dihati kita?
Jadi, perlunya kita kembali
semula secara syumul pada Allah bermula dengan kembalinya jiwa kita
untuk benar-benar beriman pada Allah iaitu iman yang mampu menolak
kebatilan..bukan iman yang mandul yang merupakan ucapan kosong
dibibir tapi ia tidak mendasari jiwa!
Insya-Allah, sama-samalah kita
memohon diberikan kekuatan iman padaNya, semoga Allah membersihkan hati kita,
melapangkan jiwa dan memberikan kita ketenangan dan keberkatan dalam
hidup ini... Dan hendaknya kita sentiasa istiqamah denganNya walau di
mana kita berada.
Amin Ya Rabbal Alamin...