Bismillahirrahmanirrahim...
Alhamdulillah...
setinggi kesyukuran dipanjatkan kehadrat Allah SWT kerana dengan
keizinanNya, sekali lagi dapat ku membuat perkongsian pada kali ini
tentang Rasulullah saw yang merupakan pesuruh Allah, Nabi kita yang
mulia, yang mana beliau sangat mengasihi ummatnya sehingga di saat-saat
akhir kewafatan baginda, kalimah umati, ummati masih dibibirnya yang
mulia.
Kasihnya dan perihatinnya Rasulullah ini pada umatnya sehingga di saat kewafatannya, beliau masih risaukan dan teringatkan umatnya. Adakah ingatan kita pada Rasulullah saw ini sebagaimana baginda ingat pada kita? Jika ia, berapa kali kita mengucap selawat pada beliau setiap hari dan sejauhmana sunnahnya telah kita ikuti?
Kenapa
kita perlu ada rasa cinta pada Rasulullah saw ini? Jika kita lihat,
kecintaan sahabat-sahabat pada Rasulullah saw melebihi kecintaan pada
diri mereka sendiri. Mereka sanggup mengorbankan nyawa sendiri bahkan
berkorban apa sahaja demi Rasulullah tercinta...Mengapakah mereka
sangat-sangat mencintai baginda sehingga jika berpisah sekejap, tidak
bertemu beliau, akan merasa kerinduan yang amat sangat? Kalau boleh
mereka tidak mahu berpisah dengan baginda walaupun seketika! Begitulah
kesan cinta yang melahirkan rasa rindu yang mendalam.
Tak
kenal maka tak cinta. Itulah ungkapan yang sering kita dengar bagi
orang yang bercinta. Sahabat-sahabat mencintai Rasulullah ini kerana
mereka mengenali keperibadian Rasulullah yang sangat mulia, kasih
sayangnya yang sungguh tinggi, keperihatinan baginda tiada tandingnya,
kata-katanya yang sungguh memukau dan menyejukkan jiwa....Semua yang
diucapkan dan yang dilaksanakan oleh Rasulullah dicontohi dan diikuti
semua sekali. Setiap patah yang diucap akan di perhatikan dan
dilaksanakan sebaik mungkin...
Semua ini sebenarnya adalah
natijah dari didikan baginda terhadap sahabat-sahabatnya. Baginda
mengajar dan mendidik sahabat-sahabatnya dengan Al-Quranul Karim yang
penuh hikmah, menanamkan hakikat iman dan kecintaan yang mendalam pada
Allah, merasai kebenaran Al-Quran yang datangnya dari
Allah...Kecintaan pada Allah inilah yang melahirkan kecintaan pula
kepada Rasulullah saw yang membawa risalah Allah sebagai panduan dalam
kehidupan manusia.
Malahan tidak akan sempurnanya
iman sesaorang selagimana dia tidak meletakkan kecintaannya kepada Rasul
melebihi keluarganya, harta, isteri dan anaknya seperti yang
diriwayatkan dalam sepotong hadith...
" Tidak sempurna iman
sesorang sehinggalah dia mengasihiku lebih daripada kasih kepada
dirinya, anaknya, hartanya dan manusia seluruhnya."
Cinta Allah dan Rasul merupakan
syarat sempurnanya iman seseorang... Maka para sahabat yang
terdidik telah mencapai tahap kesempurnaan iman...sehingga tiada lagi
yang paling mereka kasihi melainkan hanya Allah dan Rasul! Masya-Allah, sungguh tinggi mertabat mereka....kita ini tiada apa-apa jika
dibandingkan dengan mereka! Sungguh jauh sekali...betapa banyaknya
kecintaan kita pada yang lain, harta dunia, wang ringgit, pangkat dan
kedudukan, kemewahan dan kesenangan, wanita. Atas sebab inilah kita
tidak merasai bagaimana sebenarnya kemanisan dan kelazatan iman itu!
Selagi mana ketiga syarat ini
tidak kita penuhi iaitu Allah dan Rasul lebih kita cintai dari yang
lain, mengasihi atau membenci sesaorang hanya kerana Allah dan tidak
rela kembali kepada kekufuran sebagaimana tidak rela dicampakkan ke
dalam api neraka, selagi itulah kelazatan iman hanya tinggal
angan-angan kosong sahaja.....Jiwa tidak mampu merasai kemanisan ini
selagi ada cinta selain Allah dan Rasul!!
Jika kita benar-benar kasihkan
baginda maka ikutilah baginda dengan penuh ikhlas, segera mengerjakan
apa yang disukai dan dikasihi baginda dan menjauhi apa yang dibencinya.
Sama-sama kita renungi ayat Quran dibawah ini surah At-Taubah ayat
62 yang bermaksud :
" Mereka bersumpah kepada
kamu dengan nama Allah untuk mencari keredaaanmu, pada hal Allah dan
Rasulnya itulah yang lebih patut mereka cari keredaannya jika mereka itu
orang-orang yang beriman."
Firman Allah lagi dalam surah al-Hujurat ayat 1-2 yang bermaksud....
"
Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mendahului Allah dan
Rasul, dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar
Lagi Maha Mengetahui."
Satu perintah dari Allah yang melarang orang Mukmin tidak mendahului Allah dan RasulNya jika kita benar-benar bertakwa padaNya.
Jadi... iman, takwa dan cinta.. sebenarnya perlu dibuktikan kesahihannya melalui amalan dan tindakan.
bukan
setakat dakwaan semata. Kecintaan pada Allah dan Rasul adalah dengan
mengikuti segala surahan dan menjauhi laranganNya. Kehidupan ini kita
layari bukan mengikut apa yang kita sukai tapi apa yang Allah dan Rasul
sukai.
Jadi korbankanlah kesukaan diri
kita ini supaya kita dapat merasai hakikat bagaimana sebenarnya manis
dan lazatnya iman, takwa dan cinta pada Allah dan Rasul... Indah dan
lazatnya cinta Allah dan Rasul ini tiada tolok bandingnya bukan seperti
cinta yang dinikmati oleh orang yang bercinta. Yang disulami rasa
derita, suka, sengsara, sakit dan sebagainya. Ia hanya boleh dirasai
oleh orang benar-benar ikhlas dan terpilih dikalangan hambanya yang
beriman. Wallahualam.
Semoga Allah merahmati kita
semua dan kita sama-sama berusaha untuk mendapatkan cinta Agung ini,
insyaAllah! Amin Ya Rabbal Alamin.
