Mujahadah adalah jalan kearah Hidayah & Takwa padaNya...

 

Bismillahirrahmanirrahim...

Islam telah menunjukkan kepada kita beberapa jalan yang boleh menyampaikan kita kepada takwa dan salah satu jalan tersebut adalah jalan mujahadah.  Ustaz Said Hawwa telah menjelaskan akan hakikat mujahadah ini...

" Kita bermujahadah ini adalah untuk mendapatkan petunjuk daripada Allah SWT."

Jadi sebenarnya, inilah tujuan mujahadah dalam diri kita agar petunjuk Allah SWT itu masuk kedalam hati kita. Mujahadah juga merupakan jalan untuk menambahkan lagi petunjuk dariNya.
Setelah kita diberi hidayah atau petunjuk dariNya, kita perlu meningkatkan lagi hidayah ini dengan mempertingkatkan mujahadah kita. 
Hidayah itu tidak datang begitu sahaja tanpa usaha kita. Dengan kata lain usaha itu adalah muqaddimah kepada hidayah Allah SWT. Hidayah Allah SWT pula merupakan muqaddimah kepada takwa dan muqaddimah untuk menjadi orang yang muttaqin iaitu orang yang benar-benar bertakwa. Hakikatnya takwa itu adalah anugerah Allah SWT kepada mereka yang benar-benar bermujahadah, bukannya boleh dibuat-buat atau berpura-pura bertakwa...! 

Untuk menjadi orang bertakwa atau menjadi orang yang baik bukannya hanya menggunakan  akal fikiran sahaja, sebaliknya ia sebenarnya mendapat petunjuk dari Allah SWT. Sepertimana firman Allah dalam surah Al-Ankabut ayat 69 yang bermaksud :
"  Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredhaan Kami benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah beserta orang yang berbuat baik."

Ayat-ayat di atas merupakan janji Allah SWT kepada mereka yang bermujahadah. Dan sesungguhnya Allah tidak akan pernah memungkiri janjiNya. 

Jadi jelaslah bahawa mujahadah, jihad dan takwa ini saling berhubungan antara satu sama lain. Manakan mungkin kita  mendapat hidayah dan takwa tanpa melalui jalan mujahadah! 

Bagaimanakah jalan mujahadah yang betul yang seharusnya kita lalui?

Untuk bermujahadah ini perlu melalui jalan yang betul bukan ikut saja jalan yang difikirkan betul. Tanpa mengikuti jalan yang betul, walaupun telah bermati-matian bermujahadah, masih tetap tidak mendapat bimbingan dan hidayah dari Allah SWT!  Jalan yang betul itu semestinyalah jalan yang telah dilaksanakan oleh baginda Rasulullah saw, bukannya jalan yang direka-reka sendiri mengikut akal fikiran dan hawanafsu kita sahaja! 

Dalam hal mujahadah ini Ustaz Said Hawwa ada menjelaskan  tentang titik tolak mujahadah ini, iaitu dimanakah kita harus bermula.....
" Kita mestilah bermula dari nokhtah iman kepada AllahSWT dan bermula dengan nokhtah mentauhidkan Allah SWT."

Jadi mujahadah yang betul mestilah bermula dengan mujahadah untuk beriman pada Allah SWT dan prinsip-prinsip keimanan yang lain secara total tanpa ragu-ragu . Hakikat iman ini mestilah diterima secara sedar dalam jiwa, dan dirasai dihati. Inilah permasalahan awal yang perlu diselesaikan dalam jiwa tanpa mengira waktu, tempat dan suasana.

Pada setiap masa dan ketika,  jiwa perlu sentiasa sedar, perlunya mentauhidkan Allah dalam apa juga keadaan, suasana, masa dan tempat! Perlu merasai kebesaran Allah walau dimana sahaja kita berada kerana Allahlah, Rabb kita yang Maha Mulia,  yang majadikan kita dari tiada dan memberikan kita segala nikmatNya didunia ini.  Maka sewajarnya, hanya Allahlah tempat tumpuan hati kita, tempat kita bergantung harap , Allahlah satu-satunya tempat ubudiah kita dalam hidup ini. Inilah dia jalan mujahadah iman yang sebenar yang telah dilalui oleh generasi sahabat dahulu, yang perlu kita juga melaluinya. 

Mujahadah iman yang benar ini akan dapat membentuk keperibadian diri yang sempurna, iaitu sahsiah Islam yang sebenarnya. Jika kita lihat kembali dalam sirah Rasulullah saw dan para sahabat baginda, telah berlaku perubahan yang sungguh besar dalam  masyarakat . Telah lahir generasi Islam yang benar-benar beriman kepada Allah SWT. Apabila mereka melakukan mujahadah ini, berlakunya perubahan yang menyeluruh dari kufur kepada Allah kepada benar-benar beriman padaNya, daripada jahiliyyah kepada Islam sepenuhnya! Pengembalian diri pada Islam akan menjadi total, bukannya samping-sampingan!  Itulah dia mujahadah yang betul yang merupakan  mujahadah peringkat pertama yang perlu dilaksanakan terlebih dahulu.

Setelah berlakunya proses mujahadah iman ini, maka barulah akan sampai kepada peringkat mujahadah yang kedua iaitu mujahadah melakukan semua semua  yang fardhu dan meninggalkan semua yang haram. Dengan kata lain, kita wajib  menyempurnakan  Islam yang minima dalam diri dengan melaksanakan semua yang difardhukan dan menjauhi semua yang dilarang oleh Allah atas dasar iman kita padaNya! Inilah tuntutan Islam kepada kita, wajibnya kita mentaati Allah SWT tanpa soal.

Diperingkat Islam minima  ini,  barulah sesaorang akan dapat melakukan ibadahnya dengan betul dalam pengertian ibadah yang sebenarnya seperti mendirikan solat lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, berzakat, menunaikan haji dan melaksanakan segal kerja amal-amal Islami. Semua ibadah yang dibuat tidak terpisah dengan hakikat melakukannya atas dasar iman dan ketaatan semata-mata pada Allah....bukan atas sebab yang lain!

Setelah sampai keperingkat yang kedua ini, maka Insya-Allah peningkatan dirinya akan menjadi sesuatu yang cukup soleh. Dengan bertambahnya hidayah Allah kepada sesaorang, maka akan bertambah takwanya pada Allah SWT.  Seterusnya,  setelah benar benar bermujahadah melakukan amalan fardhu tadi  diikuti pula dengan bermujahadah  melakukan amalan-amalan sunat, maka peningkatannya akan menjadi semakin baik, hidayah Allah semakin bertambah dan ia menjadi  semakin mulia disisi Allah SWT, Insya-Allah!  

Jadi proses mujahadah ini tidak boleh dicampuradukkan susunannya. Ia mesti dimulai dengan mujahadah iman, mujahadah menyempurnakan islam minima dalam diri iaitu melaksanakan segala yang fardhu dan diikuti mujahadah melakukan amalan yang sunat sunat. Ada dikalangan kita yang banyak melakukan amalan sunat tapi ada yang haram masih dibuat dan ada yang fardhu ditinggalkan! 

Tiada amalan yang lebih Allah sukai dan cintai melainkan yang fardhu! Jadi sempurnakanlah terlebih dahulu yang fardhu sebelum menitikberatkan yang sunat-sunat!  Tambahaan pula doa kita sukar Allah terima jika kita masih buat dosa dan maksiat, meskipun amalan sunat kita banyak. Jika kita berbuat dosa, bererti kita menderhakai Allah.....maka bagaimana Allah nak terima amalan yang bercampur aduk dengan dosa dan pahala dan segala doa yang kita panjatkan? Sama-samalah kita renung-renungkan......

Disamping itu, segala amalan fardhu dan sunat  yang dilakukannya bukan hanya untuk dirinya sahaja tapi dia juga berkewajipan mengajak orang lain- isteri, anak, keluarga, saudara mara, jiran,  masyarakat, kearah merealisasikan Islam dalam diri dengan melalui jalan mujahadah yang betul. 

Dalam rangka bermujahadah untuk memperbaiki diri sendiri, adalah  merupakan satu tuntutan Islam   mengajak orang lain sama. Dengan ini,  akan dapat membina masyarakat Islam yang kuat dengan kuatnya iman dan takwa pada Allah SWT.  Kekuatan masyarakat bukan dinilai dengan kekuatan fizikal sahaja tapi dengan kekuatan hatinya yang penuh bertakwa padaNya. 

Kekuatan takwa ini perlu terus dipelihara melalui proses mujahadah yang dapat membawa kepada hidayah Allah. Tanpa mujahadah yang berterusan, lama kelamaan kekuatan akan hilang.. masyarakat akan lemah, kerana lemahnya iman dan takwa pada Allah SWT!

Mujahadah iman dan amal yang berterusan dapat menjaga iman dan takwa kita sentiasa berada ditahap yang kuat.. Melalui mujahadah ini Allah akan memberikan dan menambahkan kepada kita hidayahNya agar terus mantap berada di atas jalanNya, insyaAllah.  Jagalah Allah maka Allah akan menjaga kita!

Ingatlah, hidayah itu adalah anugerah yang sungguh berharga bagi kita melebihi segalanya! Tanpa hidayah Allah kita meraba-raba dalam kegelapan diri yang tiada petunjuk. bencana bagi diri tanpa hidayahNya! Adakah itu yang kita mahu?

Jadi, sama-sama jom kita lakukan mujahadah yang betul ini.....tanamkan iman dalam diri, laksanakan sepenuhnya segala suruhan Allah dalam diri dan tingkatkan amalan sunat kita agar hidayah Allah terus menerus kita dapati Insya-Allah.....

Mudah-mudahan Allah membantu kita untuk istiqamah dalm mujahadah ini, Insya-Allah.



One Response so far.

  1. Anonymous says:

    Ya Allah...
    aku hilang dalam mencarimu
    makin bertambah kesesatanku
    Ya Allah...
    tunjukilah aku jalan yang lurus
    jalan yang membawa ke syurgaMu
    jalan yang Engkau redhai
    Ya Allah...
    rintihan ini
    dari seorang hamba yang tak punya apa

Leave a Reply